Petikan saya hari ini...

"Diskaun serendah itu agak memalukan industri kita kerana membeli buku sebagai orang awam sahaja pun kita layak mendapat diskaun lebih tinggi dari itu..."

- Keluhan pemain industri buku di KakiSakat

Sunday, July 5, 2009

PESAN PAK SAMAD

KESEMPATAN bersama SN Datuk (Dr.) A. Samad Said atau mesra disapa Pak Samad telah saya manfaatkan sepenuhnya untuk mengutip segala pengalaman berharga. Lebih-lebih lagi dalam mengorek rahsia pengkaryaannya. Alhamdulillah, secara peribadi beliau banyak memperturunkan ilmu dan pengalaman baik semasa sama-sama menikmati kopi di kafe hotel, atau di gerai di tepi jalan juga semasa berkereta ke destinasi yang kami tuju.

Antara yang terkesan ialah apabila saya menyatakan hasrat untuk turut menjadi seperti beliau suatu hari nanti. Kalau pun tidak lah sampai bergelar seorang sasterawan seperti beliau, seupayanya saya mahu menjadi seorang pengkarya yang merakam zaman saya ini dengan cara saya sendiri.

Saya juga menyatakan bahawa saya giat mencatat pada laman blog. Di mana sehingga catatan ini sudah 356 entri termuat. Belum lagi dikira blog terdahulu yang telah saya abaikan (atas beberapa faktor) di mana termuat di dalamnya sekitar lebih 100 entri.

Catatan pada blog sebenarnya saya anggap sebagai lakaran bab dalam catatan lengkap saya. Dan Pak Samad memberi cadangan agar catatan-catatan itu disaring dan diberi pengkayaan lalu dipersembahkan dalam bentuk yang lebih bermaruah. Pemahaman saya tentunya dalam bentuk sebuah buku yang sempurna sifat dan peribadinya.

Atas kata-kata semangat dan motivasi itu lalu saya secara sendiri-sendiri mengkaji semula entri-entri yang termuat di dalam laman blog saya ini. Selain beberapa artikel termuat turut tersiar di penerbitan-penerbitan tertentu terdapat juga entri yang berstatus 'sampah' dan 'bahan buangan' semata. Tetapi, saya tetap mengiktirafnya sebagai penanda. Entri yang boleh mencetuskan ingatan saya pada sesuatu perkara yang lain ; yang lebih besar falsafahnya, saya kira.

Setelah beberapa kriteria saya telusuri, lalu saya dapati banyak juga entri-entri saya di sini berkisar tentang diri sendiri, saya dengan orang di sekeliling saya, dengan perkara dan benda yang saya dampingi, juga pandangan saya tentang orang, perkara atau benda yang terkait dengan diri saya atau kerjaya dan kehidupan saya.

Kata Pak Samad, eloknya disuakan pada satu pihak lain untuk dilihat dan dinilai. Lalu mengambil pandangan baik untuk memperkaya atau menambah nilai tulisan yang sedia ada. Dan ... andai mampu mendapat seorang yang punya karisma tertentu lalu disuruh beri kata pengantar akan tulisan-tulisan itu. Saya semakin teruja!

Dari segala kutipan itu, lalu mencetuskan kesedaran di fikiran saya bahawa kita semua sedang merakam sesuatu pada zaman kita. Dengan menulis tanpa mengorbankan maruah dan dengan penuh tanggungjawab tentu sahaja tulisan-tulisan kita ini boleh dikongsi dan dimanafaatkan oleh orang lain pula.

Jadi, saya mahu menyeru semua sahabat-sahabat jangan sekali berhenti daripada mencatat (tidak kira dalam apa jua saluran) agar apa yang kita tulis boleh kita kongsikan bersama. Asalkan kita tetap bertanggungjawab, ditulis dengan bermaruah, dan tidak menyembunyikan hasrat yang jahat.

Sesungguhnya di kepala saya masih hangat dan sarat dengan curahan pengalaman oleh Pak Samad. Rasa diri saya ini benar-benar dimewahi dengan pengalaman berharga itu sepanjang tiga hari bersama Pak Samad. Kalau ada rezeki, Insya-Allah kami berganding lagi dalam acara wacana ilmu seumpama UTUSAN SUKMA : SEPAGI BERSASTERA baru-baru ini. INSYA-ALLAH.

13 komentar:

Mohd Ali Atan said...

Ada gaya jadi wartawan sasterawan!

NorziatiMR said...

En Rozlan, saya ada satu kisah menarik berkenaan Pak Samad. Dalam satu entri saya bercerita tentang Pak Samad. Saya menyatakan apa yang saya lihat padanya dan persepsi yang berubah selepas menonton CD kehidupan beliau. Tanpa disangka, saya menerima komen dari anaknya, En Helmi diikuti e-mel. Beliau menyatakan yang Pak Samad membaca entri tersebut, dan ingin menghadiahkan buku kepada saya. Buat seketika saya terkedu.

Saya menerima Cinta Fansuri dan Dari Salina Ke Langit Petang yang mempunyai tandatangan Pak Samad. Hingga kini, saya tidak sangka entri tersebut dibaca oleh orang sebesar Pak Samad.

Entri tersebut boleh dibaca dipautan ini: http://norziati.blogspot.com/2007/02/satu-kesederhanaan.html
:-)

wardah munirah said...

Assalamu'alaikum saudara,

Membaca entri saudara ini membungakan rasa bangga saya pada sasterawan itu. Dalam pengkaryaan Pak Samad, saya lebih meminati puisi-puisinya yang begitu indah bahasa dan jalinan ceritanya.

Insya-Allah, saudara juga mampu menjadi seperti beliau.

Saya juga senang mendengar pesan Pak Samad kepada saudara berkenaan penulisan entri yang perlu dijana dengan lebih bermaruah.

Sebagai pelajar yang ingin merangkak naik dalam bidang penulisan, laman blog saya tubuhkan sebagai medan untuk saya mengasah kemahiran menulis saya. Justeru, dengan kewibawaan saudara juga saya mohon agar saudara turut berkenan untuk melawati laman blog saya dan menilai seni penulisan saya yang masih baru ini.

Semoga saudara terus berjaya dan tahniah atas pengalaman yang saudara kecapi bersama Pak Samad itu.

Waallahu'alam

Wan Juliya said...

Rakaman gambar dalam enti ini cukup bermakna. Saudara ada potensi untuk jadi seseorang.

maza said...

Hmm.. mungkin juga elok dirakamkan peristiwa kelab Jiwa-jiwa Luka di F204 KK8 itew...

hmm kenangan terindah berhampiran surau bawah tanah!

hehehhe

Anonymous said...

Yeah, saya gemar ayat itu:

"Saudara ada potensi untuk jadi seseorang"

Setiap seorang adalah seseorang. banglaN juga. :)

monei

SIS said...

salam tn..siapa yang tak mahu jadi macam Pak Samad...mampu melukis hati dan rasa diatas kertas dgn berkesan sekali...penggiat spt tn mmg ada peluang besar...saya amat bertuah sekali krn pertama kali melihat dan mendengar Pak Samad berpuisi depan mata pada 12 dan 19 Jun di IB..( dulu yg saya rasa amat mustahil bg sy utk melihat Pak Samad secara dekat kini dah jadi realiti..bahagia sekali walau dpt melihat dr kejauhan)..saya budak baru belajar tentang seni dan sastera yg tertangguh sejak sekian lama...

Nek Cun said...

RMN, ada orang mencurahkan perasaan melalui kata-kata, ada orang pula mencurahkannya melalui perbuatan dan tidak kurang pula ramai yang berasa puas apabila mencurahkannya melalui penulisan. Ia lebih kekal dan dapat dikongsi oleh orang lain yang mungkin akan dapat lebih memahami perasaan yang ingin dicurahkan!...

Rozlan Mohamed Noor (RMN) said...

Ali Atan - ingatkan ada gaya jadi hartawan ... dermawan!

Norziati - Saya sudah membaca pautan itu. Memang cukup manis. Tahniah. Saudari menyusur jalan yg cerah dalam pengkaryaan. Tinggal lagi tekun dan konsisten.

Wardah - saya juga pengagum puisi beliau. Dan dengan tekun kita juga mungkin boleh mengikut jejak Pak Samad.

Rozlan Mohamed Noor (RMN) said...

Wan Juliya - Saya memang seseorang. Seseorang yang bkan siapa-siapa sekarang ini. hehehe...

Maza - Entri dari blog ko juga mengcetuskan inspirasi. Tunggulah. Karang ada yg tak tahan berderai air mata.. juga air liur menahan tawa. Hahahaa...

Monei - juuga adik monei boleh! Kaji batu jangan sampai naik jerawat batu.

SIS - Saya tak tahu orang lain tapi saya juga saban hari dalam proses belajar dan belajar. Semakin bnyak meneroka semakin luas rupanya ilmu Tuhan. Semakin kerdil rasa.

NekCun - benar...pengalaman boleh dicurah dalam apa jua bentuk. Malah ada penulis blog saya kira punya penulisan yang hebat!

SATIRA + KACAU said...

Sdr RMN: Baguslah kerana cita-cita dan hasrat. Namun menjadi seorang yang besar akan lebih banyak juga henyakannya dan moga Sdr punya kekuatan untuk bertahan.

Satira+Kacau juga sudah agak lama juga melihat dan mencatat dan kemudian menggabungkan catatan itu menjadi cerpen dalam bentuk yang lain.

Siapa tidak mahu dilihat dan diperhatikan oleh tokoh sebesar itu? Tentu sahaja Sdr tergolong yang bertuah.

Jadi, kebetulan juga Sdr berada di kerusi yang panas itu, jagalah "kebertuahan" itu.

Hi. Hi. Hi.

Satira+Kacau

PenulisBebas said...

Baru berpeluang membaca coretan ini pada hari ini. Ternyata sarat dengan pesanan untuk menjadi inspirasi dalam memblog dengan penuh rasa tanggung-jawab dan bermaruah...

Rozlan Mohamed Noor (RMN) said...

Adakala sesuatu yang berfaedah dan bermanfaat elok dikongsi sama. Sdra juga kalau ada apa2 yang baik....elok dikongsi sama. terima kasih sdra.

Salam Muhibbah

My Photo
Rozlan Mohamed Noor (RMN)
BMC, Selangor, Malaysia
Rozlan Mohamed Noor (Juga dikenal sebagai DAFINKA) , Editor UP&D (juga TINTARONA), berkelulusan Universiti Malaya dalam bidang Penerbitan. Kini menetap di pinggir Kuala Lumpur. Meminati bidang penulisan / kesenian/ kewartawanan / penerbitan buku. -- selamat berkongsi idea. Talian khas HOTBLOG +6017-3476553
View my complete profile

Mencari Sesuatu Di Sini...

Loading...

Kebenaran & Penafian

Tiada sebarang copyright eksklusif terhadap apa-apa bahan oleh saya sendiri di dalam laman blog ini. Mana-mana pihak yang ingin memetik dibenarkan berbuat demikian asalkan MENCATAT SUMBER DARIPADA http://www.celikhuruf.blogspot.com/ . Laman blog ini bersifat peribadi dan tidak sekali-kali bermotifkan keuntungan baik kepada diri sendiri mahupun mana-mana organisasi berkaitan dengan pemilik blog.