Petikan saya hari ini...

"Diskaun serendah itu agak memalukan industri kita kerana membeli buku sebagai orang awam sahaja pun kita layak mendapat diskaun lebih tinggi dari itu..."

- Keluhan pemain industri buku di KakiSakat

Wednesday, November 4, 2009

MUSUH : Tak dapat lawan kita kawan!

DALAM konteks perniagaan andai kita tidak mampu melawan musuh perniagaan kita, ada baiknya kita berbuat kawan dan mengambil manfaat daripadanya. Ibarat menarik rambut dalam tepung ; rambut tidak putus, tepung tidak berselerak!

Melihat dari sudut yang positif persaingan dalam industri buku sebenarnya memberi manfaat kepada industri itu sendiri. Dunia buku akan lebih semarak dan aktiviti keilmuan akan selalu subur dan segar.

Selain, persaingan dalam meningkatkan kualiti fizikal dan kandungan buku juga akan memberi manafaat kepada pembaca dan masyarakat amnya. Tahap pemikiran masyarakat juga akan berkembang dan sekali gus akan menjadikan pembaca seorang yang kritis dan selektif. Mereka akan menjadi pemantau dalam gerakan pemerkasaan bahan-bahan bacaan.

Jadi, ada baiknya antara penerbit yang kelihatan seolah bersaing dalam industri melihat dunia persaingan ini sebagai suatu perkembangan yang sihat. Berkawan sesama industri akan meningkatkan penguasaan maklumat pasaran.

Malah, boleh jadi ada sesuatu projek penerbitan dapat dijalankan secara bersama. Berkongsi kepakaran dan kemahiran yang berbeza. Mengutip manfaat yang besar secara bersama. Saling melengkapi. Industri ini bukan besar mana!

Sikap memburuk-buruk penerbit yang lain melambangkan peribadi pemain industri yang 'tidak asli' dalam menekuni dunia buku ini. Apa salahnya memberi pandangan yang konstruktif dan sama-sama perihatin terhadap pembangunan industri yang kecil ini.

Mereka ini mungkin semata 'businessman' yang tidak melihat objek 'buku' sebagai suatu yang 'bernyawa' malah seperti melihat objek mati yang tidak mempunyai roh dan semangatnya.
Mari kita suburkan industri perbukuan negara kita dengan kudrat yang ada. Mulakan dengan diri sendiri sebagai seorang yang suka membaca.

Friday, October 30, 2009

Jualan Buku Murah

JUALAN penghabisan stok buku dengan judul-judul yang bermutu akan menemui peminat pada 2 hingga 13 November ini. Harga serendah RM1 hingga RM10 untuk setiap judul pasti memberi pengalaman memuaskan kepada ulat buku.
Sesi jualan ini bermula seawal pukul 9.00 pagi hingga 6.00 petang. Jualan pada kali ini menyediakan hampir 200 judul buku yang menarik dan berkualiti dengan harga terendah.
Berkunjunglah ke premis Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd, di alamat No. 1 & 3, Jalan 3/91A, Taman Shamelin Perkasa, Cheras, Kuala Lumpur. Jualan akan bermula pada pukul 9.00 pagi hingga 6 petang. ( Hari berkerja sahaja ).
Sebagai hadiah galakan untuk pembeli yang berbelanja RM50 ke atas akan berpeluang untuk memenangi cabutan bertuah yang disediakan oleh pihak syarikat.

Jualan seumpama ini dijangka akan menarik minat pihak sekolah, pemborong dan peruncit buku untuk membeli secara pukal. Selain pembelian tunai pengunjung juga boleh membuat pembelian secara kad kredit untuk pembelian bernilai RM50.00 ke atas.
Sebarang pertanyaan berkaitan jualan ini, boleh dikemukakan dengan menghubungi pejabat UP&D di talian 03-92856577 atau faksimilis 03-92874645.
* Harga RM1 hingga RM10 untuk judul-judul terpilih. Manakala gambar buku yang dipaparkan sekadar hiasan. Tertakluk kepada terma dan syarat.

Thursday, October 29, 2009

BOLEHKAH KITA RASA BEGINI ...

PENGKARYA ialah seorang yang bebas berkarya. Sempadan hanya ada dalam diri mereka. Itu yang paling kebal. Kalau undang-undang dunia melarang sekalipun ia tidak menganggu sepicing usaha pengkarya itu untuk melempiaskan nafsu pengkaryaannya. Itu saya percaya.

Tetapi, sebagai pengnikmat karya adakala kita juga berasa tidak selesa atau bersetuju dengan karya itu. Hal ini terjadi kepada saya.

Entah kenapa saya tidak setuju dengan karya sasterawan ini lewat karyanya. Namanya besar, gagah, hebat dan tersohor juga. Biarpun bukanlah pemunya gelaran Sasterawan Negara. Tetapi puisinya kali ini 'nakal' dan tidak sedap saya menghadamnya. Serius!

Maafkan saya, kerana saya - untuk kali ini - tidak setuju dengan karya beliau. Mungkin saya cuba berlayar terlalu jauh ke tengah-tengah karyanya itu sehingga tersirna tebing karya dari tubir mata saya.

Tetapi, bolehkah kita tidak suka pada satu-satu karya itu? Bolehkah?

Suka atau tidak perasaan saya ini usahkan diambil serius sangat kerana rasa suka atau tidak saya ini bukanlah rasa suka atau tidak si pemegang kuasa. Saya bukan sasterawan, saya bukan siapa-siapapun dalam khalayak sastera tanah air. Saya cuma 'peminat' yang hanya cuba menyelam ke kolam makna sebuah puisi dengan ilmu berenang yang cetek.

MAAFKAN SAYA. Sekadar mahu membias rasa. Tetapi nak juga saya bertanya; BOLEHKAH SAYA BENARKAN PERASAAN SAYA INI?

Tuesday, October 27, 2009

SAYA DILAHIRKAN BUTA

TIADA siapapun tahu, bahawa saya ini dilahirkan dalam sifat yang buta. Dalam kalangan yang buta seperti saya,lebih malang ialah saya menjadi pengidap yang agak lambat untuk celik.

Saya katakan demikian kepada 40 pelajar tingkatan empat Maktab Rendah Sains MARA, Bentong, Pahang dalam pertemuan di Universiti Malaya pada Sabtu yang lalu. Riak di wajah mereka sedikit terkejut dengan bunyi 'bzzzz' seperti lebah mula kedengaran singkat.

Saya katakan kepada mereka bahawa mereka amat bertuah. Dapat menikmati sistem pengajian yang terancang dan tersusun serta dilimpahi dengan kemudahan yang cukup.

Pada mulanya saya diminta oleh sahabat saya yang mengajar di sekolah tersebut untuk bercakap tentang dunia buku dan penerbitan kepada pelajar-pelajar 'yang meminati' itu. Jadi bila saya fikirkan, apakah yang harus saya kongsikan dengan mereka selain bercerita seberapa asas tentang buku, dan juga dunia penerbitan yang saya geluti. Saya kira mendekatkan diri mereka dengan asas perbukuan dan menyubur minat terhadap buku lebih utama.

Selain, saya juga menceritakan sedikit pengalaman dan perjalanan hidup saya ( yang masih bertatih ) ini sehingga saya menjadi 'penggila' dunia buku dan penerbitan. Saya juga namakan bidang kegilaan saya itu sebagai bidang kreatif dan industri kandungan.

Pelajar-pelajar yang turut meminati pelajaran Bahasa Melayu dan turut mempelajari KOMSAS itu rata-rata 'berseronok' sahaja dalam sesi saya. Mungkin dari awal saya mahu sesi itu dikendalikan dalam suasana tidak terlalu formal.

Sesi lebih sejam itu banyak berkongsi manfaat termasuk untuk kegunaan saya sendiri dalam mengumpul maklumat massa tentang minat dan kecenderungan pembaca muda (remaja) seperti mereka. Input ini berguna kepada saya sebagai penanda aras dalam merangka strategi penerbitan pada masa hadapan.

Akhir sesi saya nyatakan kepada mereka, bahawa saya menjadi lambat untuk celik dari buta sejak lahir atas pelbagai faktor dan keadaan semasa itu. Di mana situasi yang dialami mereka hari ini mungkin jauh berbeza dengan apa yang telah saya lalui.

SAYA LAHIR DALAM KEADAAN BUTA HURUF DAN CELIK HURUF PADA USIA SAYA HAMPIR 11 TAHUN. Saya yakin tiada seorang pun yang dapat menandingi rekod saya itu dalam kalangan 40 pelajar tadi. Atas banyak alasan saya menjadi lembab untuk mengenal huruf-huruf rumi, namun selepas celik saya rasa saya menjadi manusia yang 'gila' untuk 'melihat' dengan 'deria' baru saya itu.

Monday, October 26, 2009

BENGKEL PENULISAN NOVEL A.V.A

AGENSI Villa Aksara sebuah agensi yang membantu penulis untuk mencari penerbit dan menguruskan manuskrip dengan lebih cekap sedang merancang untuk mengadakan Bengkel Penulisan Novel AVA 2009.

Maklumat ini sengaja saja cuplik dari laman sahabat editor saya Serunai Faqir yang juga selaku penggerak utama AVA. Menurut laman blog beliau, bengkel ini akan diadakan pada 12 Disember 2009 (Sabtu) bertempat di Pusat Belia Antarabangsa, Cheras.

Saya andaikan bengkel ini merupakan rentetan kejayaan Bengkel Menulis Cerpen AVA yang baru sahaja berjalan dengan jayanya pada 18 Oktober yang lalu.

Sekali lagi bengkel ini menampilkan penulis muda berbakat besar Nisah Hj Haron sebagai pemudahcara. Untuk keterangan lanjut tentang program ilmu ini bolelah layari laman blog Serunai Faqir atau juga laman blog AVA.



p/s: Keperluan seorang penulis seperti juga seorang penebang balak. Sesekali berhenti menebang dan mengasah kapaknya juga akan memberi manfaat yang besar dalam pekerjaannya. Saya amat mengalakkan penulis-penulis baharu khususnya untuk menyertai bengkel ini.

Sunday, October 25, 2009

Amanah dan Kerahsiaan

AMANAH dan kerahsiaan penulis juga di atas pundak editor. Sebagai editor yang bertanggungjawab mereka bukan sahaja bertanggungjawab hal-hal yang berkaitan dengan naskhah tulisannya, tetapi turut melangkaui kepentingan-kepentingan lain yang harus dilindungi.

Baru-baru ini sekali lagi saya dihubungi oleh seseorang yang beria-ia mahukan nombor telefon seorang penulis ini. Merengek-rengek dan 'meronta-ronta' di talian. Tanpa apa-apa alasan yang munasabah saya tidak akan sesekali mendedahkan sempadan peribadi penulis saya kepada mana-mana pihak ketiga. Walaupun ini bukan suatu peraturan khas dalam etika editor tetapi sudah menjadi konvensi yang diterima pakai bahawa apabila kita diberikan amanah maka tidak bermorallah kita mendedahkan kepada pihak yang ketiga.

Bukan saya prejudis atau peranoid dengan tuntutan sembrono itu, tetapi saya juga harus berhati-hati dengan sebarang konplikasi yang mungkin bakal muncul. Ada baiknya saya berhubung dahulu dengan penulisnya. Menyelidik dengan akal yang waras tentang kehendak dan kemahuan pihak ketiga itu.

Saya tidak berniat untuk menghalang peminat-peminat buku untuk mendampingi penulis yang mereka sukai, tetapi penulis juga tentu ada sempadan peribadinya yang tersendiri. Setakat mana yang termampu saya hanya bertindak atas tahap kerasionalan saya yang paling tinggi. Itu sahaja.

Editor, bukan semata suatu jawatan 'kerja' yang menekuni lingkungan manuskrip yang 'mati' dan 'kaku', tetapi menjerumus diri ke dalam keseluruhan proses yang terangkum dalam aspek penerbitan / penulisan. Yang selalu hidup dan beraneka ragam renyahnya.

Friday, October 23, 2009

Memahami Hubungan Penulis - Editor ( Siri 1 )

SEJAUH mana penulis tidak bersetuju dengan penyuntingan yang dilakukan oleh seorang editor. Apakah bentuk hubungan yang terjalin antara penulis dengan editor?

Baru-baru ini dalam bengkel bersama Agen Villa Aksara (AVA) suatu badan agen manuskrip yang baru ditubuhkan di Malaysia saya telah diajukan dengan persoalan aspek penyuntingan yang dilakukan oleh editor terhadap karya penulis.

Pada kebiasaan ( dan mengikut amalan biasa rumah penerbitan ) penyuntingan yang melibatkan struktur dan kandungan bahan terlebih dahulu dirujuk kepada penulis. Perbincangan akan dilakukan kerap pada peringkat awal reka letak. Terutama tentang konsep buku yang bakal diterbitkan. Penyuntingan substentif dilakukan oleh seorang editor dengan melihat keseluruhan kandungan manuskrip. Beberapa aspek kesesuaian akan diambil kira.

Selalunya, penyuntingan kopi yang melibatkan hal-hal berkenaan dengan ejaan dan tanda baca tidak lah menjadi isu argumentasi antara penulis dengan editor. Kebanyakan penulis akan bersetuju dengan editornya. Malah hubungan saling mempercayai senang wujud dalam peringkat ini.

Ada peserta menyatakan bahawa manuskripnya telah melalui proses penerbitan yang membelakangkannya. Tiada perbincangan dilakukan daripada peringkat awal penyuntingan sehinggalah manuskripnya siap menjadi naskhah buku untuk dipasarkan. Hal ini sedikit mengecewakan. Kerana sudah tentu penulis mengenalpasti beberapa bahagian di dalam manuskripnya telah dipotong atau ditambah tanpa pengetahuannya.

Malah, penulis juga dikatakan teraniaya kerana gagal mengesan status manuskripnya dalam peringkat-peringkat penerbitan. Harus disedarkan juga bahawa penulis patut mengenali penerbit yang diberi tanggungjawab untuk menerbitkan karya mereka. Kalau boleh selidikilah kekuatan dan kelemahan sesebuah penerbit itu. Ada penerbit yang mempunyai judul-judul rujukan sekolah yang kuat tetapi tidak dominan dalam penerbitan karya novel. Demikian penerbit buku-buku agama mungkin tidak memberi pemberatan kepada genre politik popular. Dan macam-macam lagi.

Editor adalah manusia yang diberi tanggungjawab untuk menjadi orang tengah (jambatan) antara penulis dengan penerbit. Juga menjadi penasihat profesional dalam urusan penerbitan buku mereka. Hal yang melingkungi penerbitan ini termasuklah soal penentuan konsep buku, penyuntingan, kontrak dan royalti, hak-hak penulis, di samping menjaga hak dan kepentingan pihak penerbit juga. Editor akan semahunya meletakkan kedua-dua pihak (penerbit - penulis ) berada dalam kondisi menang-menang!

Manakala tugas dan tanggungjawab seorang editor adalah berbeza mengikut kapasitinya di organisasi media tertentu. Lain penerbit lain pula had kuasa yang diperuntukkan kepada seseorang yang berjawatan editor. Harus itu difahami oleh manusia dalam industri.Ada editor dikhususkan untuk melakukan penyuntingan kopi semata. Ada juga yang disebut sebagai editor perolehan yang menjalankan fungsi perolehan manuskrip. Manakala terdapat juga editor pengurusan yang hanya melakukan kerja-kerja mengurus suatu projek penerbitan. Yang mana lebih menumpu soal 'tahu siapa' bukan 'tahu bagaimana'. Yakni, tahu siapa yang harus dia 'gegarkan' untuk menyiapkan sesuatu projek dan tidak berapa tahu bagaimana untuk melaksanakan sesuatu projek itu. Jelasnya masing-masing ada memainkan fungsi tersendiri.

Tidak dinafikan sesetengah editor di 'rumah penerbitan' menjadi pengurus projek yang tahu keseluruhan proses. Turut dipertanggungjawab melalui kesemua proses dalam penerbitan buku.

Dalam kesempatan yang lain, boleh kita perkatakan pula tentang tugas dan peranan seorang editor. Yang mana akan turut memberi gambaran jelas kepada seorang penulis. Dan, hakikat yang kita harus sedar ialah; editor juga manusia biasa yang punya kelemahan di mana-mana. Yang dari semasa ke semasa menuntut pelajaran setiap hari. Setiap kes!

Monday, October 19, 2009

Bengkel Kendalian Agen Manuskrip

AHAD di Pusat Belia Antarabangsa Cheras dalam kumpulan anjuran Agen Manuskrip kelolaan Serunai Faqir berlangsung bengkel penulisan cerpen sehari.

Dengan bimbingan pencerpen mapan Nisah Haron , peserta yang terdiri daripada bakal penulis seramai 14 orang tekun menadah ilmu. Tega karya mereka dibedah, disiat demi penambahbaikan. Dengan keghairahan yang terpancar pada wajah masing-masing, mereka ini wajar diberi ruang dan peluang untuk meneroka lebih jauh horizon sastera tanah air.

Mungkin tidak sekarang, atau juga bulan-bulan yang akan datang. Tetapi melihat akan kesungguhan mereka pastinya suatu hari mereka akan menjadi tersohor dan terkenal seperti mana penulis-penulis mapan yang lain.

Dalam kesempatan yang sama, saya jua turut berkongsi peluang yang ada di syarikat yang saya wakili. Mungkin masih belum berpengalaman dan persepsi 'takut' dengan pihak penerbit mereka ini seperti 'malu-malu' untuk terdedah.

(Bersama peserta bengkel. >>)

Saya seru, kalau-kalau ada dalam kalangan yang 14 ini terbaca entri ini ; syarikat yang saya wakili ini sentiasa sedia untuk menerima idea-idea penerbitan yang segar dan baharu. Yang boleh dipanjang-panjangkan pengembangan ideanya.

Juga, sudah tiba masa untuk semua orang menanam hasrat untuk menjadi seorang pencatat yang aktif. Yang merakam zaman mereka dalam cara mereka sendiri. Menulislah. Menulis sebagai jambatan komunikasi yang berkesan untuk tatapan generasi akan datang.


Selamat berkarya.


* Ihsan gambar dalam laman Serunai Faqir

Tuesday, October 13, 2009

Majlis Hari Raya Kelab 250R Malaysia

BARU-baru ini bertempat di Taman Takungan Air, Kampung Dato Abu Bakar Baginda, Bangi berlangsung majlis sambutan hari raya kelab motosikal Ninja 250R Malaysia buat julung-julung kalinya. Majlis yang bermula pada pukul 2 petang itu dihadiri lebih 50 ahli-ahli kelab bersama keluarga masing-masing.

Majlis sederhana tetapi meriah itu telah dirasmikan oleh Dato Ketua kampung Tuan Haji Nur Azhar Mohd Rawi. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah wakil daripada Kawasaki Malaysia Tuan Haji Mohd Radzi ( En. Mad ).

Majlis yang petama kali diadakan sejak penubuhan kelab tersebut sekitar setahun yang lalu berjaya mencapai matlamatnya. Ahli-ahli kelab yang hadir bukan sahaja dari sekitar Lembah Klang tetapi juga dari negeri yang lain.
Menurut koordinator acara saudara Suhaimi Kusaini, majlis tersebut dianjurkan bagi merapatkan silaturrahim dalam kalangan ahli kelab dan memperkenalkan ahli keluarga masing-masing. Menurut beliau lagi, kelab ini telah mengadakan banyak acara-acara bermanfaat baik kepada ahli iu sendiri dan juga masyarakat.

Antara aktiviti kelab ialah majlis berbuka puasa bersama anak yatim, konvoi anjuran bersama Kawasaki Malaysia ke Pulau Pinang, Konvoi ke Phuket, Jelajah Tanah Air, dan juga pertemuan-pertemuan rutin sepanjang minggu.
Kelab Ninja 250R Malaysia ditubuhkan atas inisiatif saudara Wan (Tuff) dan ahli-ahli yang terawal memiliki jentera Kawasaki ini. Laman rasmi kelab ini boleh dilayari di www.ninja250rmalaysia.com

Semua pemilik jentera 250R dari pengeluar Kawasaki diseru untuk menyertai kelab ini. Keahlian dalam talian juga terbuka kepada peminat-peminat jentera kawasaki dan sesiapa sahaja yang mahu berkongsi pengalaman dan hobi tentang dunia pemotoran.

Sunday, October 11, 2009

Open House

SABAN minggu sejak selepas 1 hari raya yang lalu aktiviti rumah terbuka memang sentiasa ada. Malah paling utama di bandar-bandar besar terutama Kuala Lumpur. Seperti satu budaya baru orang bandar beraya. Maka tidak hairan setiap hujung minggu ( Sabtu dan Ahad ) jalan-jalan di Kuala Lumpur dan sekitarnya sesak teruk.
Semalam dan hari ini, saya masih dalam mode memenuhi undangan. Dari Sri Gombak ke Semenyih, langsung malamnya majlis yang lain di Kajang. Sehingga ada majlis yang tidak dapat dipenuhi. Dari rakan-rakan sepejabat, rakan-rakan sejawatan, rakan seindustri, rakan sehobi dan sebagainya.
Semalam, saya tidak tahu kenapa orang lain agaknya gemar 'mencium' belakang kereta saya. Sudah beberapa kali berlaku, dan semalam sewaktu mahu ke rumah sahabat blogger di Semenyih, sekali lagi bumper belakang kereta saya dilanggar. Itu satu hal, malah ketika pulang pula melalui jalan Cheras Kajang, sekali lagi kemalangan berlaku betul-betul di belakang kereta saya. Syukur, tidak terkena kereta saya.
Saya kira Ops Sikap harusnya dipanjangkan lantaran orang beraya selama sebulan. Setiap hujung minggu kadar pergerakan kenderaan amat tinggi. Kesesakan jalan raya tidak mampu membuat orang bersabar. Malah, penunggang motosikal juga sering saja menjadi mangsa kemalangan ( cedera marah atau maut!).
Selagi masih dalam mood beraya selagi itu manusia-manusia di Lembah Klang ini akan bergerak dan bergerak. Minggu satu lagi, kemeriahan bertembung pula dengan sambutan Deepavali. Emm .. pasti lebih sesak jalan raya.

Saturday, October 10, 2009

Kerja - Malam Puisi - Hobi

MALAM tadi kami di pejabat melakukan kerja luar masa. Maksudnya kami beberapa orang dalam 'team editorial' harus berkampung untuk melunaskan satu projek yang segera. Malah boss juga turut sama berkampung.
Sebetulnya dari malam semalam, dan malam tadi kerja-kerja itu masih bersambungan. Tidak hairan bagi yang sudah biasa dalam dunia penerbitan. Kata sahabat dari DBP, "Wah! Bonus lebih lah tahun ni.". Saya hanya senyum dengan usikan itu. Tiada makna.
Manakala saya pula ingin benar sesekali memesrai malam baca puisi yang dengar-dengarnya sering dianjurkan oleh sahabat-sahabat dalam PENA. Lalu malam tadi juga saya 'mencilok' ke sana - ke Rumah Pena. Sempatlah menikmat beberapa karya di pentas yang dikongsi pelbagai lapisan pendeklamator.
Ramai yang saya temui. Yang hebat-hebat yang mesra-mesra dan yang lama tidak bersua. Juga sahabat yang lama dalam talian, pertama di luar talian.
Teruja bertemu Amran (yang hanya selalu bertalian), juga pertama kali tersua Syafiq Zulakifli. Pak Arbak yang sering mesra sapaannya, Pak Saleeh yang 'nakal mengusik', SM. Zakir, Hasbullah, Syukri, Saifullizam, Lutfi malah ramai lagi.
Saya kembali ke pejabat. Melihat sahabat-sahabat sepejabat masih bertekun. Dan, kami selesai sekitar jam 11.30 malam. Dan hampir tengah malam itu juga saya telah ke Bangi. Rakan-rakan dalam kelab motosikal saya pula yang mahu menikmati secawan kopi bersama-sama.
Walaupun tanpa puisi, walau tanpa apa-apa desakan hati, kami selalu dengan rela bertukar-tukar cerita, bertambah pengalaman.
Sepanjang hari, terima kasih siapa-siapa sahaja yang ada di sisi saya. Sekeliling saya yang amat memberi makna. Dan .. saya hanya mahu hidup bersederhana saja.

Friday, October 9, 2009

Bersederhana ...

HIDUP menjadi sukar apabila kita memilih jalan sukar. Banyak hal dalam kehidupan boleh menjadi mudah jika kita selalu berusaha untuk mempermudahkannya. Doa kita kepada Tuhan saban hari juga mahu hidup dipermudahkan-Nya.

Senggang beberapa lama saya tidak mengemaskini laman blog. Tiada entri-entri yang bererti malah tiada rangsangan-rangsangan minda digarap. Meskipun kehidupan seharian sentiasa penuh keterujaan. Kadang-kadang saya sengaja memilih untuk diam dan tidak mencatat di sini. Namun, saya tetap ada catatan dalam sisi yang lain.

Kadang-kadang mencatat sedikit membawa erti yang besar. Catatan yang panjang lebar tidak mustahil berstatus sampah semata. Cuma, saya selalu berharap apabila kita membaca tulisan siapa-siapa jua kita harus meletakkan kerasioanalan pada tahap yang tinggi. Melatah dan menggelabah tidak tentu fasal hanya mendedahkan kelemahan diri kita sendiri.

Selain sedang menekuni manuskrip - yang sudah menjadi agenda hakiki - saya mahu meluang masa menyuburkan minda dengan program-program keilmuan. Wacana ilmu dan wahana bersosial secara sihat. Juga, kalau sesekali saya bersunyi ; saya mahu mencari tenang dalam riuh agenda duniawi.

Terima kasih sahabat-sahabat yang masih ( walau sesekali) menjenguk ke laman blog saya. Kerana latar yang berbeza dan kemahuan yang tidak sama, blog ini sering sukar mencari talaan untuk memuaskan desakan ingin membaca semua orang. Ada tulisan saya yang tidak memberi makna kepada sesetengah sahabat.

Ada yang tidak langsung meninggalkan kesan, malah bosan dengan karut-marut saya dalam bercerita tentang diri saya sendiri, masyarakat saya, komuniti saya, industri yang saya ceburi dan kehidupan di sekeliling saya.

Nasihat, teguran, pandangan dan pemantauan sahabat-sahabat seper'blog'an menjadikan saya selalu terlalu berhati-hati.

Apa yang utama, kita bersederhanalah dalam apa jua. Dalam berkongsi rasa, tahu, dan mahu juga dalam kehidupan seharian kita.

Saturday, October 3, 2009

Lepas Tidak Bebas

BEBERAPA hari yang sudah. Belum sempat saya 'menambat tali kuda' anak gadis saya sudah melonjat keluar dengan ghairah mahu bercerita tentang kehebatannya bermain permainan video yang 'advance'.

Bagai empang mahu pecah. Ceritanya penuh keterujaan. Tidak sabar-sabar. Sambil menunjukkan telefon bimbit kepada saya.

Saya mengambil jeda beberapa ketika. Tidak mahu menghampakan keterujaannya. Saya menurutkan saja. Melihat-lihat dan mengamati.

TERKEJUT! Tetapi, kali ini boleh buat saya mengamuk!

Setelah sedikit meninggikan suara, menyesal pula rasanya. Si anak merajuk terus. Puas memujuk, puas mengecek. Sudah tak jalan dia. Ishh...

Apa tidaknya, 'game' yang ditunjukkan adalah permainan berbentuk sidang talian. Berlawan dengan pihak yang ketiga. Entah bil akan melambung pula nanti. Itu bukan faktor paras darah naik, tetapi ... terlebih pula dia meneroka. Sampai pandai-pandai bereksperimen sedemikian dengan teknologi.

Entah, kadang-kadang menghalang anak-anak meneroka pun menyekat kreativiti. Melepaskan saja, takut pula terleka.

Friday, October 2, 2009

Semangat Aidilfitri dan Rumah Terbuka

Masih dalam semangat aidilfitri nampaknya undangan majlis hari raya tidak putus berkunjung tiba. Kalau pejabat-pejabat korporat jemputannya pada hari berkerja manakala pada hujung minggu pula rumah sahabat dan saudara mara. Jadual juga harus disusun elok-elok.
Saya ingin mengambil kesempatan yang masih hangat ini untuk mengucapkan selamat hari raya, maaf zahir dan batin. Andai ada majlis yang tidak dapat / sempat dihadiri saya kirimkan ampun dan maaf. Doa juga untuk kesejahteraan sahabat-sahabat semua.
Lebih-lebih lagi pengunjung yang baik pertama kali atau yang sudah berkali-kali ke laman ini juga saya hargai dengan doa yang selalu baik-baik. Kalau ada tulisan-tulisan saya yang menggores harap dimaafkan. Ditegur tidak mengapa, kerana itu lebih bermakna kepada saya.
Yang berkesempatan, silalah berkunjung ke majlis hari raya di pejabat saya pada petang ini. Sesetengah daripada tuan-tuan juga mungkin sudah menerima jemputan rasmi. Yang tidak dijemput rasmi datang saja, demi semangat Aidilfitri.
MAAF ZAHIR DAN BATIN.

Wednesday, September 30, 2009

Rasa Cinta Berharga RM30

NILAI kasih kepada seorang gadis hanya RM30 sahaja. Atau bersamaan dengan sekeping tiket untuk balik ke kampung halaman. Saya mengutip pengalaman ini di hadapan foyer Kolej Kediaman Kinabalu tempat saya menginap ketika menuntut di Universiti Malaya dahulu (1996 - 2000)
Saya mengenali seorang remaja yang sedang galak meneroka dan yang selalu ingin mencuba. Dia datang dari arah bawah tangga foyer. Muka bersahaja, seperti mengepung suatu rasa.
Saya tanya pada dia kenapa? Dia jawab, "aku baru saja 'menjual' buah hati aku dengan harga RM30 ringgit,"

"Macam mana?"

Lalu dia pun bercerita ;

"Aku memang minat dekat awek ni. Dah lama simpan hati tapi tak pernahlah approach. Aku pun tahu yang dia tak tahu aku minat kat dia!
Tadi aku pergi minum di gerai Abang Zul di belakang kolej. Tup-tup si mamat yang bancuh air tu panggil aku. Dia tanya aku macam-macam. Pasal belajar, pasal kampung, pasal itu dan ini. Dia pun agaknya kasihan dengan cerita aku pasal aku tak ada duit nak balik kampung. Kebetulan raya dah dekat.
Dia pun kasi aku RM30. Aku seronoklah. Tapi, aku kena adjust satu awek ni untuk dia. Awek ni pula awek yang sama yang aku dok minat! Dalam hati memang aku terkedu. Aku dah fikir habis-habis.
Akhirnya aku ambil duit tu, aku pun amik juga sepucuk surat cinta yang dia karang untuk bagi pada awek yang satu ini. Aku sendiri pergi jumpa awek ini. Bagi surat itu, dah explain lebih kurang. Tapi pasal aku dapat upah RM30 tidaklah aku ceritakan!
Maka, itu jugalah peluang aku pertama kali tengok awek hitam manis ni dari jarak dekat. Boleh lah tahan ayunya. Tapi sayang, aku perlukan duit ni untuk beli tiket bas nak balik raya!"

***
Jadi, gadis idaman si hitam manis itu bukanlah buah hati siapa-siapa pun. Yang 'dijual' itupun bukannya buah hati dia. Cuma, rasa 'cinta' nya yang tidak berapa pasti sahaja.

Saya kenal gadis manis itu, malah mereka selalu bertiga. Berkawan rapat ke sana ke mari. Dan, yang uniknya gadis bertiga ini suka menggayakan 'selipar jepun' sebagai fesyen mereka di kolej. Semasa di kampus tidak pasti pula saya. Mereka tentulah manis, memandangkan gadis sunti ini baru belasan tahun. Dua daripada mereka menuntut dalam jurusan undang-undang manakala seorang lagi dalam bidang Pengajian Media. Saya juga, masih ada cerita tentang mereka. Nanti akan saya kongsikan...

Salam Muhibbah

My Photo
Rozlan Mohamed Noor (RMN)
BMC, Selangor, Malaysia
Rozlan Mohamed Noor (Juga dikenal sebagai DAFINKA) , Editor UP&D (juga TINTARONA), berkelulusan Universiti Malaya dalam bidang Penerbitan. Kini menetap di pinggir Kuala Lumpur. Meminati bidang penulisan / kesenian/ kewartawanan / penerbitan buku. -- selamat berkongsi idea. Talian khas HOTBLOG +6017-3476553
View my complete profile

Mencari Sesuatu Di Sini...

Loading...

Kebenaran & Penafian

Tiada sebarang copyright eksklusif terhadap apa-apa bahan oleh saya sendiri di dalam laman blog ini. Mana-mana pihak yang ingin memetik dibenarkan berbuat demikian asalkan MENCATAT SUMBER DARIPADA http://www.celikhuruf.blogspot.com/ . Laman blog ini bersifat peribadi dan tidak sekali-kali bermotifkan keuntungan baik kepada diri sendiri mahupun mana-mana organisasi berkaitan dengan pemilik blog.